Tahu kenapa mawar berwarna merah pekat bak pekatnya darah yang mengalir didalam setiap urat dan salur darah tubuh? Juga tahukah kamu mengapa mawar merah itu sering dikaitkan dengan burung yang berwarna putih suci? Merah pekat dan putih suci yang sering menjadi tarikan ketika hari kekasih. Dua cerita yang saling berkait dan selalu diceritakan ini akan Comot ceritakan dalam persepsi Comot sendiri.
Dahulu, sebelum wujudnya dunia khayalan dan sebelum wujudnya warna-warna yang menjadi hiasan tatkala manusia berkasih, semua benda yang berada di dunia hanya wujud dalam warna putih. Kosong tanpa sebarang warna lain seperti sekarang. Haiwan, tumbuhan, gunung-ganang dan apa sahaja yang berwarna pada waktu ini adalah putih. Tapi, jauh didalam sebuah taman bunga, terdapat sekuntum bunga yang tumbuh dan mekar menjadi warna yang kita kenali sebagai warna merah. Warnanya menambat hati segala hidupan yang terdapat didunia ini. Kewujudannya menjadi bualan ramai dan mereka mengatakan bahawa bunga itu adalah raja kepada segala tumbuhan yang wujud ditaman itu.
Jauh disudut taman itu, wujud sekuntum bunga mawar putih yang indah. Mawar indah ini sebenarnya menyukai bunga merah tersebut. Senyuman diwajahnya menjadi semakin indah dengan kehadiran bunga merah tersebut. Pandangannya hanya tertumpu kepada bunga merah yang dirasakan sangat-sangat menambat hati kecil miliknya. Mawar putih ini kebetulan bersahabat baik dengan seekor burung putih. Burung ini sering menjadi tempat mawar meluahkan perasaannya dan burung ini senantiasa menemani mawar ini tidak kira waktu dan ketika. Tanpa sesiapapun menyedarinya, burung ini telah jatuh sayang pada mawar putih itu. Kelembutan dan kenaifan mawar putih itu telah menawan hatinya.
Pada suatu hari, mawar itu menyatakan kepada burung putih itu bahawa dia mahu menyatakan rasa sayangnya kepada bunga merah itu. Terkedu seketika burung putih itu. Jelas terpancar riak sugul dan kecewa diwajahnya. Namun, kerana sayang akan mawar putih, burung itu sanggup membawa mawar itu ke tempat bunga merah. Namun, mawar putih telah ditolak mentah-mentah oleh bunga merah kerana dikatakan tidak sepadan dengan dirinya yang kononnya lebih indah itu. Lalu mawar putih berlalu pergi dengan hati yang retak. Burung putih yang kasihan melihat pujaannya bersedih cuba untuk menggembirakan hari-hari mawar putih seperti biasa. Namun, mawar putih tetap bersedih.
Akhirnya, suatu hari sang burung telah meluahkan rasa yang dipendam sejak sekian lama. Harapannya Cuma satu, untuk melihat mawar gembira dan tersenyum kembali. Namun, jawapan yang diberikan mawar amat mengguris hati. Mawar mengatakan burung tak sepadan dengan dirinya. Burung putih sedaya upaya meyakinkan mawar bahawa dia mampu untuk membahagiakan mawar, namun kata-katanya hanya dipandang sepi oleh mawar putih. Sehinggalah suatu hari mawar mengatakan,
“Jika kamu mampu menjadikan aku berwarna merah pekat seperti bunga merah, cinta dan sayangku ini akan sepenuhnya menjadi milik kamu”
Terkedu seketika burung mendengar kata-kata mawar itu. Namun, kerana sayang dan cintanya yang teguh kepada mawar, dia berjanji akan memenuhi permintaan mawar. Pada malamnya, ketika mawar sedang beradu, dia terdengar satu bisikan halus yang sangat menyentuh hati kecil miliknya,
“Wahai mawar putih kesayanganku, saat ini akanku penuhi permintaanmu. Meski ianya amat menyakitkan diriku ini, aku tetap akan melakukannya keran aku terlalu menyayangi dirimu dan kerana sayangku padamu aku tak mahu melihat kamu bersedih. Sesungguhnya aku sayang padamu dengan sepenuh hatiku dan tiada apa yang dapat menggantikan dirimu dalam hatiku. Kini, aku milik kamu selamanya”
Tamat sahaja kata-kata itu, mawar merasakan ada cecair hangat yang membasahi keseluruhan tubuhnya. Mawar cuba melihat siapa yang berkata-kata dengannya namun kerana gelapnya malam tanpa sedikit pun cahaya dari bualn dan bintang, mawar gagal melihat empunya suara tersebut.
Keesokan harinya, hebohlah seluruh taman pabila mawar yang dahulunya putih telah menjadi merah dengan tiba-tiba. Mawar yang terkejut dengan perubahan dirinya hanya mampu tersenyum riang. Sang burung telah menunaikan janjinya dan hatinya kini milik sang burung. Dia tercari-cari dimanakah burung yang kini dia cintai namun tidak dia temui. Namun, saat pandangannya menghala ke arah tanah, dia terlihat burung kesayangannya telah kaku. Seluruh tubuh burung putih itu dipenuhi dengan luka-luka dan dipenuhi dengan darah merah yang kian kering. Saat itu tahulah mawar bahawa suara sayu yang didengarnya pada malam tersebut adalah suara burung yang telah melukakan dirinya sendiri dan membasahi mawar dengan darahnya agar dapat memenuhi permintaan mawar. Setitis demi setitis air mata mawar gugur membasahi jasad burung yang telah kaku. Hatinya membeku. Kasih dan cinta yang mula mekar buat burung pada kala itu membeku. Burung yang dikasihinya telah pergi selamanya kerana mengorbankan dirinya sendiri untuk melihat mawar bahagia. Mawar sedar akan kesalahannya namun semuanya telah terlambat. Burung yang dikasihi telah tiada dan mawar tahu dia kini keseorangan di dunia ini. Dek kerana terlalu sedih dengan apa yang terjadi, duri tajam mula tumbuh pada tubuh mawar. Duri-duri tajam ini tumbuh kerana permintaan mawar pada sang Alam. Duri tajam itu adalah perlindungan buat dirinya agar dia tidak diambil orang. Dirinya hanya untuk sang burung yang telah pergi itu. walaupun dia tahu semuanya tidak lagi berguna, namun hanya itu yang mampu dilakukannya untuk menunjukkan betapa dia kesal dengan perbuatannya........
Hargai mereka yang menyayangi kamu sementara mereka masih ada.
Buat bintang kesayangan Comot. Terima kasih untuk segala rasa sayang dan rindu yang kamu berikan pada saya. Sesungguhnya saya juga sayang pada kamu dan saya hanya untuk kamu seorang......te amo...
No comments:
Post a Comment